Saturday, January 30, 2021

* Welcome 2021 #newnormalife *

    Assalam alaykom... end of January!!!
    Happy New Year 2021 with #newnormalife


    Pembuka tahun baru dengan norma baharu dan gaya hidup yang mana kita perlu akur dengan kehadiran virus kecil yang telah menggemparkan seluruh dunia. Masih segar di ingatan saya hari pertama mendengar nama 'Covid-19' iaitu tahun kelahirannya pada penghujung tahun 2019 dan bagaimana semua orang terpinga menuding jari ke sana ke sini dan bagaimana ketika itu ahli keluarga saya turut sama tidur tak lena memikirkan perihal kewujudan virus ini.

    Masih segar di ingatan saya hari pertama AYAH mengadakan sidang akhbar dan kami sekeluarga menunggu di luar bangunan kerna hubby Moose berkejaran mengikuti 'behind the scenes' mantan Menteri. Masih segar di ingatan kami AYAH menerangkan kepada seluruh keluarga Warisan Tok Mat mengenai latar belakang dan kisah virus ini dan itulah perjumpaan terakhir kami semua pada awal tahun 2020 sebelum PKP Malaysia.

    Sejak itu, kami membataskan perjumpaan keluarga, hanya telefon menghubungkan kami semua. Beraya juga secara maya dan seingat saya setiap kali saya dapat peluang pulang ke kampung halaman di Penang, pada bulan Julai dan September 2020, ketika itu juga saya terpaksa menghantar ABAH ke hospital kerna penyakitnya semakin teruk dan bagaimana kami sekeluarga tidak dapat melawat ABAH di rumah sakit dan sekali lagi telefon menjadi medium komunikasi. Begitu juga saya mendapat berita pemergian ABAH melalui panggilan telefon, namun saya harus kuat kerna mempunyai anak-anak, suami dan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

    Tahun 2021 disambut dengan #normabaharu yang mana sebahagian besar masa kerja 'Work From Home' dan sekali lagi telefon memainkan peranan komunikasi dan semakan kerja. Alhamdullillah, kini saya akur dan cuba menyesuaikan diri untuk bekerja secara maya. Masih segar di ingatan saya ketika mula menceburi bidang teknologi maklumat, perkataan maya dan virtual adalah utama namun ketika itu tidak pernah terbayang bahawa dunia IT akan memberi impak besar kepada seluruh warga dunia. Semoga dunia IT memberi manfaat yang baik buat semua. Semoga virus Covid-19 melandai lekuknya di Malaysia dan semoga vaksin untuk mencegah virus ini bisa digunakan sebaiknya dan semoga kita semua dibawah lindunganNYA dan dipermudahkan urusan. Ameen.

    Selamat Tahun Baru 2021!

No comments:

Post a Comment