Sunday, April 16, 2023

* Langkah-KU sepanjang 16 Tahun @ BERNAS *

Assalam alaykom.. Salam Ramadan Al Mubarak. Sempena melangkah ke tahun-16 perkhidmatan, saya kongsikan secebis nukilan perjalanan kareer saya di BERNAS.


Cerita saya hanyalah kisah seorang gadis kerdil yang bermula daripada sebutir benih.

Abah saya, Allahyarham Md. Shaari Ahmad hanyalah seorang kelasi feri yang mahu meningkatkan pendapatan keluarga dan melihat anak-anaknya berjaya. Arwah Abah selalu berpesan, “Belajar! Belajar! Belajar!”. Seperti anak-anak yang lain, ketika itu saya degil dan enggan memahami kepentingan pelajaran. Arwah Abah menceburi bidang perniagaan makanan yang telah membesarkan saya dan membenarkan saya ke menara gading seperti yang diimpikannya.

Saya sentiasa berpegang pada “Lakukan segalanya dengan ikhlas; andai membantu, bantulah dengan sebaiknya; jika mahu berkongsi ilmu, kongsilah dengan sesungguhnya kerana satu hari nanti, rezeki itu pasti akan berpulang kepada kita semula. Insya-Allah.”

Jangan pernah berhenti bermimpi.

Siapa sangka, gadis kenit yang memulai kerjaya dalam bidang IT ini, kini beralih ke bidang komunikasi. Sejujurnya, ia merupakan bidang yang saya idamkan namun penuh kegusaran dek kerana kurangnya pengalaman. Namun, langkah pertama saya bersama Jabatan Komunikasi Korporat pada 2019 sudah pun menginjak ke tahun keempat. Amanah yang telah diberi saya galas dengan sepenuh hati.

Pelbagai cabaran telah saya lalui, ditambah dengan pertukaran boss yang bersilih ganti. Jangan pernah berputus asa, berhenti berusaha. Kita harus terus belajar dan menerima pendapat atau kritikan untuk upgrade diri sendiri.

Kadang-kadang Allah turunkan petir dan kilat, kita menangis mencari di mana matahari, rupanya Allah mahu beri kita pelangi.” Benar! Kita harus sentiasa optimis dan berfikiran positif. Jauhi sifat dengki, mengadu domba, fitnah apatah lagi menyimpan dendam. Sentiasalah berlapang dada dan senyum…. Itulah SAYA!

Tak pernah saya bayangkan bahawa saya mampu menjadi pengendali acara dan mempunyai ramai kenalan di BERNAS. Kelab BERNAS Malaysia sangat dekat di hati saya kerana ia merupakan platform pertama saya mula aktif dengan program kebajikan, sosial, rekreasi dan sukan selain menjadi pengacara majlis atau emcee. Saya mendekatkan diri dengan masyarakat dan mengenali rakan-rakan yang akrab bagaikan sebuah keluarga.

Program Integrasi Nasional ke Sarawak, Lawatan Mesra ke Beijing, Kejohanan Bowling Piala Presiden, Hari Wanita BERNAS dan Rice Warrior Challenge pastinya antara yang melakar kenangan. Alhamdullillah saya telah mengendalikan lebih 50 program KBM. Itu antara kejayaan manis dan membuktikan yang wanita kecil ini mampu berdiri setanding untuk maju dan progresif seperti orang lain.

Jangan pernah putus berdoa…

Semoga pengkongsian cerita saya ini dapat menjadi inspirasi. Insya-Allah, niatkan segala yang kita lakukan dengan sebaiknya, dan Dia Maha Pemberi akan mengurniakan ganjaran yang setimpalnya. 

Sempena bulan yang meraikan wanita ini, saya ingin mengingatkan kepada semua wanita besi di BERNAS, bahawa anda adalah srikandi dalam kelembutan yang sentiasa mekar, teguh, cekal dan tabah mengharungi segala pancaroba.

May every joy and tear bring us all closer to Jannah, Ameen. Let us care more for one another and empower each other to be better.

 

Love and hugs…

CYANA


No comments:

Post a Comment